2022年6月29日星期三

Faedah-Faedah Menyertai Unit Beruniform [Esei SPM]

Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah menyertai unit beruniform. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.   

        Pada era globalisasi ini, para remaja lebih leka dalam permainan komputer. Pada hakikatnya, mereka digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyertai aktiviti unit beruniform supaya melahirkan modal insan yang badan cergas dan otak cerdas selaras dengan Wawasan 2020. Maka, faedah-faedah menyertai unit beruniform yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

       Terlebih dahulu, antara unit beruniform ialah Pengakap. Sebagaimana yang kita maklum, remaja yang menyertai unit beruniform ini boleh menyertai aktiviti yang lasak. Tamsilnya, mereka boleh menjalankan perkhemahan. Dengan ini, mereka dilatih untuk menguruskan rutin hidup mereka tanpa bantuan ibu bapa. Aktiviti yang seterusnya ialah aktiviti berkawad. Kedua-dua aktiviti ini mustahak kerana remaja-remaja dilatih untuk mematuhi arahan ketua sekaligus mendisiplinkan diri dalam kalangan mereka.

      Begitu juga, unit beruniform lain ialah Persatuan Bulan Sabit Merah. Dalam unit beruniform ini, remaja dapat menyertai latihan kecemasan dan mempelajari bantuan asas kecemasan. Hal ini memungkinkan mereka dilengkapkan dengan kemahiran untuk membantu mangsa bencana alam. Selanjutnya, mereka tidak akan bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing semasa bencana alam berlaku.

      Akhirnya, unit beruniform Kadet Polis juga membawa kemaslahatan kepada remaja. Aktiviti yang diadakan ialah kuliah tentang undang-undang serta tugas dan tanggungjawab polis serta berkawad. Mereka dilatih untuk membantu mengurangkan jenayah. Selanjutnya, aktiviti tersebut boleh memupuk nilai-nilai mulia dan menanamkan semangat positif dalam jiwa mereka.

     Konklusinya, remaja perlulah menyertai unit beruniform untuk menghadapi dugaan hidup dan menambah pengalaman. Bak kata pepatah, " Amalan membawa kesempurnaan", remaja akan dilatih menjadi modal inasn yang berguna terhadap masyarakat sejagat apabila mereka melangkah ke kedewasaan nanti. Oleh sebab pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, remaja patutlah diberi bimbingan dan latihan untuk mempunyai masa hadapan yang cemerlang.

没有评论:

发表评论

简介

作文整理处